Thursday, January 13, 2011

Kesederhanaan dalam Hidup. (Refleksi)

Islam mengalakkan kesederhanaan dan melarang pembaziran dan berlebih-lebihan. Saya ingin membuat sedikit refleksi apa yang saya faham dengan konsep ini dan mengapa saya rasa ia adalah salah satu cara untuk bahagia dan tenang.

Sebagai manusia kita memang mempunyai pelbagai kehendak, kadang-kadang seolah-olah tiada penghujungnya. Ada kalanya ia juga memudaratkan. Di sinilah kita boleh mendidik diri kita untuk bersederhana dalam aspek kehidupan. Keperluan dan kehendak adalah berbeza, kita mesti utamakan keperluan dahulu kerana ia adalah sumber keselesaan dan ketenangan. Bertindaklah mengikut kehendak diri sendiri dan bukan kerana orang lain di sekitar kita.

Kita boleh aplikasikan dalam kehidupan seharian agar kita cukup apa yang kita perlukan selalu. Paling penting adalah dalam aspek kewangan. Kita perlu menggunakan kewangan yang ada dengan sederhana, Kita beli apa yang perlu sahaja, elakkan membazir membeli pekara yang kita tidak betul betul memerlukannya.

Ini bagi mengelakkan kita rasa duit sentiasa tidak cukup dan akhirnya menjadikan kita seorang mata duitan. Dan pada masa yang sama, anda boleh berhemah tetapi elakkan menjadi seorang yang kedekut. Kita seharusnya bersyukur dengan apa yang kita ada dan ini akan menyebabkan kita rasa cukup dengan apa yang kita ada. Kalau tidak asyik rasa kekurangan itu dan ini. Anda cuma perlu bijak berbelanja, membeli barang berkualiti pada harga yang berpatutan, contohnya semasa musim jualan dan membuat senarai barang yang diperlukan sahaja. Rancang dan beli barang yang tahan lama dan boleh diguna berulang kali.

Bersederhana dalam pemakaian, pergaulan, pemakanan, pekerjaan, pemilikan harta benda dan pertuturan juga akan menjadikan anda seorang yang tenang, gembira dan bahagia. Walau apa pun orang lain kata atau lontarkan pada anda, anda pasti tenang kerana anda tahu di mana kemampuan diri sendiri.

Semoga kita semua hidup dalam tenang, gembira dan segala kecukupan InsyaAllah. Rezeki Allah telah ditetapkan untuk manusia cuma kena berusaha, sabar dan bersyukur. Biar lambat asal selamat, elakkan jalan pintas untuk menikmati kesenangan kerana ia boleh mengundang perkara yang tidak diingini.













No comments:

Post a Comment